Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    16 resolusi dirumus sempena ICAPP 2025

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Sebanyak 16 resolusi telah dirumuskan sempena Persidangan Antarabangsa Psikologi Gunaan dan Pedagogi 2025 (ICAPP 2025) yang berlangsung selama dua hari, anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Guru Asia Tenggara (AsTEN).

    Resolusi-resolusi berkenaan merangkumi empat tema utama, iaitu Polisi, Transformasi Digital dan Kerangka Etika; Intervensi Kesihatan Mental dan Daya Tahan Pelajar; Kompetensi Guru dan Pembangunan Inovatif serta Penglibatan Komuniti dan Peranan Media Sosial.

    Antara cadangan pelan tindakan yang disepakati termasuklah membangunkan rangka kerja bersama komuniti ASEAN bagi pelaksanaan resolusi; mengadakan sesi pemantauan dan penambahbaikan secara berkala berdasarkan keperluan; serta menggalakkan penglibatan pelbagai pihak bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan resolusi, sama ada di peringkat lokal mahupun serantau.

    Sehubungan itu, majlis penutup persidangan yang berlangsung petang kelmarin turut menyaksikan pembentangan ucaptama kedua dan pembentangan resolusi.

    Hadir dalam sesi tersebut, Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani. Turut hadir, pegawai-pegawai eksekutif dan utama, pensyarah serta kakitangan KUPU SB, para pembentang serta peserta persidangan dari dalam dan luar negara.

    Dalam pembentangan ucaptama kedua bertajuk Kesejahteraan Mental dan Pembelajaran Berterusan: Membina Ketahanan dalam Komuniti Pendidikan, oleh Penolong Profesor di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam, Dr Deeni Rudita bin Idris, menekankan bahawa kesejahteraan mental guru merupakan tunjang kepada sistem pendidikan yang mampan.

    Jelas beliau, guru yang sihat mental lebih fokus, produktif dan berupaya memberikan sokongan yang berkesan kepada pelajar. Sokongan itu boleh ditingkatkan melalui latihan berkala, komuniti pembelajaran profesional, serta akses kepada kaunseling dan sumber psikososial.

    Sepanjang ICAPP 2025, sebanyak satu pembentangan kertas perdana, dua pembentangan kertas ucaptama, serta 54 kertas kerja sesi selari telah dikongsikan, menjadikan persidangan ini sebagai wadah penting dalam memperkukuh dasar dan amalan pendidikan serantau, khususnya dalam bidang psikologi gunaan dan pedagogi.

    Profesor Madya Dr Abdul Nasir bergambar ramai semasa majlis penutup tersebut. – GAMBAR SERAHAN KUPU SB
    Antara yang hadir pada majlis penutup ICAPP 2025, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KUPU SB
    GAMBAR SERAHAN KUPU SB
    GAMBAR SERAHAN KUPU SB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda