Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), mengadakan Majlis Penyerahan Bayaran Pakej Haji kepada Darussalam Services Sdn Bhd dan Syarikat Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd serta Penyampaian Wang Saku kepada mualaf yang terpilih.
Selain itu, mereka juga memenuhi syarat-syarat untuk mendapatkan kurnia tambang haji daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada majlis hari ini.
Hadir pada majlis yang diadakan di Dewan Multaqa, KHEU itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), yang turut menyempurnakan penyerahan bayaran pakej dan penyampaian agihan wang saku kepada mualaf yang terpilih.
Di majlis berkenaan, Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Hamzah bin Haji Sabtu dalam kata alu-aluannya menjelaskan bahawa saudara-saudara baru yang terpilih bagi menunaikan ibadah haji dengan dikurniakan tambang haji daripada Baginda Sultan adalah mereka yang telah mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan berdasarkan garis pandu yang telah disediakan oleh MUIB.
“Mereka itu juga telah lulus ujian temu duga yang telah dilaksanakan oleh jawatankuasa temu duga yang terdiri daripada beberapa agensi dalam KHEU dengan dipengerusikan oleh salah seorang ahli MUIB dan hasil keputusan daripada temu duga tersebut telah diluluskan oleh Jawatankuasa Bertindak bagi Menimbangkan Permohonan Kurnia Tambang Haji daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Mualaf dan Orang Awam.”
Haji Hamzah menyatakan bahawa mualaf merupakan salah satu asnaf yang berhak menerima zakat, oleh yang demikian, beliau mengongsikan bahawa pada 2022, MUIB melalui Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat, telah mengagihkan hasil kutipan zakat kepada asnaf mualaf iaitu dalam anggaran jumlah agihan sebanyak $1,720,838.42 dan kesemua jumlah agihan berkenaan adalah diambil daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Mualaf.
Majlis diteruskan dengan penyerahan bayaran pakej kepada wakil Darussalam Services Sdn Bhd dan Syarikat Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd dan penyampaian agihan wang saku kepada seramai 16 orang saudara baru yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Para penerima berkenaan dikurniakan perkara-perkara berikut iaitu tambang haji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menurut kadar yang diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan iaitu $4,500 setiap seorang, sebanyak $15,100 bagi mencukupkan bayaran pakej-pakej yang mereka pilih dan perbelanjaan ini diambil daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Mualaf serta diberikan wang saku sebanyak $2,000 bagi perbelanjaan persendirian yang mana perbelanjaan itu juga diambil daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Mualaf.
Ia dihasratkan dapat memantapkan lagi keimanan dan penghayatan Islam saudara-saudara baru serta memberikan peluang kepada mereka untuk menunaikan ibadat haji pada musim haji tahun ini.