MOGADISHU, 24 MAC – Agensi perisikan Somalia berkata 16 suspek telah ditahan berhubung serangan maut ke atas sebuah hotel popular di ibu negara Mogadishu 10 hari lalu.
Tiga orang terbunuh selepas pejuang Al-Shabaab menyerbu hotel SYL berhampiran perkarangan istana presiden yang dikawal ketat pada 14 Mac, menyebabkan pengepungan lebih 13 jam.
Pasukan keselamatan juga membunuh lima penyerang dalam insiden tembak-menembak, kata polis selepas mengumumkan keadaan telah terkawal.
“Berikutan siasatan, pasukan keselamatan berjaya menangkap rangkaian yang bertanggungjawab atas serangan pengganas Hotel SYL, menahan 16 suspek termasuk dalang Abdinasir Dahir Nur,” kata Agensi Perisikan dan Keselamatan Kebangsaan Somalia (NISA) di X lewat kelmarin.
“Keadilan akan ditegakkan di mahkamah untuk semua yang terlibat,” tambahnya.
NISA berkata lima anggota agensi keselamatan Somalia yang bertanggungjawab ke atas pusat pemeriksaan diserang adalah antara yang ditahan.
Suspek utama, Nur, didakwa mengatur kenderaan yang digunakan dalam serangan, manakala empat lagi yang ditahan adalah individu yang namanya digunakan untuk mendaftarkan kenderaan itu, katanya. – AFP