Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Ramadan tidak hanya disemarakkan dengan pelbagai aktiviti agama, ia juga dijadikan wadah mengeratkan hubungan silaturahim melalui majlis bersungkai bersama keluarga, rakan dan penduduk kampung serta orang istimewa.
Sehubungan itu, Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OKP) turut menyemarakkan Ramadan dengan Majlis Iftar OKP di Dewan Silaturahim, Pusat Belia di ibu negara yang dihadiri lebih 160 orang warga OKP, kelmarin.
Hadir sama di majlis itu ialah Yang Dipertua Persatuan OKP, Pengiran Haji Norahalim BPHA Rahman bersama AJKT, biro dan ahli OKP serta keluarga mereka.
Majlis yang diadakan setiap tahun itu turut dihasratkan dapat meningkatkan perasaan kekitaan dan semangat kekeluargaan sesama warga OKP.
Selain itu, ia menjadi platform untuk mengawal tekanan kerja dan menggalakkan warga OKP yang lebih sihat, cergas dan produktif serta berkenal-kenalan dan memupuk semangat muhibah sesama warga OKP di semua peringkat.
Selain majlis iftar tersebut, OKP turut mengungkayahkan pelbagai lagi aktiviti lain pada Ramadan ini, antaranya Projek OKP Prihatin yang akan diadakan pada minggu keempat sebelum menjelang Hari Raya dan Sambutan Hari Raya OKP akan diadakan 30 April depan.
Majlis iftar kelmarin turut diisikan dengan bacaan surah Yasin, bertahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Penolong Ketua Biro Agama, Persatuan OKP, Awang Mohammad Zulfadzli bin Haji Mohd Daud.
