Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 20 APRIL – Lebih 160 warga emas yang menetap di seluruh kawasan pedalaman di Daerah Belait berkumpul di Taman Rekreasi Sungai Mau kelmarin sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Acara tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Sawat itu bertujuan untuk memeriahkan lagi suasana perayaan khususnya bagi warga emas yang tinggal di kawasan terpencil di daerah tersebut, bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam sambutan yang meriah itu.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad. Beliau telah dialu-alukan oleh Ketua Kampung Bukit Sawat dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann selaku pengerusi majlis
Turut hadir, ahli-ahli MMN dari Daerah Belait dan Tutong; Pengarah Urusan AE Enterprise, Chai Yum Fatt, yang menyokong sambutan itu; serta penghulu dan ketua kampung dari seluruh Daerah Belait.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan ringkas oleh pengerusi majlis.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Awang Mohammad menjelaskan perhimpunan itu bukanlah kali pertama dianjurkan oleh MPK, kerana setiap tahun mereka menghimpunkan warga emas dari seluruh kawasan untuk meraikan majlis tersebut.
“Setiap tahun, kami menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama warga emas sebagai menghargai dan mengambil berat terhadap sumbangan mereka, baik dari segi ilmu mahupun kebijaksanaan kepada kampung dan masyarakat,” tambahnya
Pada majlis itu hadiah penghargaan berbentuk cenderahati dan sumbangan diberikan kepada warga emas berkenaan yang disempurnakan oleh Chai Yum Fatt, diiringi oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman.
Selain itu, anugerah khas turut disampaikan kepada warga emas yang terpilih atas sumbangan dan usaha mereka di mukim dan kampung masing-masing.
Antara aktiviti lain yang diadakan termasuk persembahan khas mukun yang diketuai oleh Selendang Sutera Brunei Darussalam, persembahan silat dan cabutan bertuah di samping hidangan tradisional dan perayaan turut disajikan pada majlis tersebut.