Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Seramai 160 pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan telah diperkenankan untuk menerima kurnia Pingkat Kerja Lama (P.K.L) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun.
Sehubungan itu, majlis penyampaian pingat tersebut telah diadakan hari ini di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan di mana hadir menyempurnakan penyampaian pingat Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Rektor Universiti Islam Sultan Shariff Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.