Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    160 warga Kementerian Pendidikan terima P.K.L

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Seramai 160 pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan telah diperkenankan untuk menerima kurnia Pingat Kerja Lama (P.K.L) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun.

    Sehubungan itu, majlis penyampaian pingat tersebut telah diadakan hari ini di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan di mana hadir menyempurnakan penyampaian pingat tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Di majlis itu, Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Perkhidmatan, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus selaku pengerusi majlis menjelaskan, penganugerahan dan pengiktirafan ini merupakan satu mekanisme penghargaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap jasa dan sumbangan yang diberikan.

    Ini juga secara langsung meningkatkan moral dan motivasi pegawai dan kakitangan yang telah melaksanakan tugas-tugas sepanjang perkkhidmatan dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab.

    Salah seorang penerima P.K.L menerima pingat yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
    Salah seorang penerima P.K.L menerima pingat yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
    Dr Hajah Norbaya akan terus menabur bakti dalam membantu anak-anak istimewa dengan kemahiran dan ilmu yang ada.
    Dr Hajah Norbaya akan terus menabur bakti dalam membantu anak-anak istimewa dengan kemahiran dan ilmu yang ada.

    Salah seorang penerima yang sempat ditemu bual di majlis itu, Pegawai Pelajaran, Dr. Hajah Norbaya binti Haji Shahminan selaku guru Kelas 1B di Sekolah Rendah Katok berkongsi pengalaman dan cabaran sepanjang 27 tahun menabur bakti dalam bidang pendidikan di Kementerian Pendidikan.

    Beliau yang merupakan salah seorang penerima anugerah P.K.L menjelaskan, walaupun cabaran sebagai seorang guru ini sangat besar tapi ia adalah cabaran yang paling cantik sekali terutama dalam mengajar kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran (anak istimewa).

    Menurutnya, murid istimewa ini akan menjalani pembelajaran mereka seperti dengan murid normal yang lain di mana mereka disatukan dalam satu bilik darjah untuk menjalani pembelajaran mereka seperti biasa.

    Dr. Hajah Norbaya mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Lukisan yang mana,menurutnya, kedua-dua mata pelajaran ini membuatkan mereka (anak-anak istimewa) untuk bercakap dan berkembang.

    Beliau seterusnya menjelaskan, Sekolah Rendah Katok adalah sekolah yang pertama untuk diaplikasikan dalam projek berkenaan sepanjang tempoh tiga tahun untuk anak-anak masalah pendengaran, anak istimewa dan anak normal.

    “Hasil laporan dari sekolah ini nanti akan disampaikan kepada guru-guru dan sekolah-sekolah yang memerlukan,” tambahnya.

    Dr Hajah Norbaya menjelaskan, tidak ramai guru yang mempunyai kemahiran khusus dalam pengajaran untuk murid yang mempunyai masalah pendengaran dan masalah keupayaan yang lain.

    Beliau menjadi guru kelas yang mempunyai seramai 24 orang murid dan salah seorang daripada murid tersebut adalah murid istimewa.

    Katanya lagi, “Sepanjang tempoh tujuh bulan di sekolah ini, guru besar dan guru-guru yang lain memberikan kerjasama untuk menjayakan projek ini selain kerjasama ibu bapa dan pihak NGO yang membantu untuk menyumbangkan peralatan untuk pelajar istimewa ini”.

    Sebelum ini, Dr. Hajah Norbaya berkhidmat di Unit Pendidikan Khas dengan peranan memberikan taklimat kepada guru-guru bagaimana cara mengatasi masalah.

    Sementara itu, Pengarah Pusat Bahasa Universiti Bunei Darussalam, Dr. Yabit bin Alas pula menyembahkan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia di atas penganugerahan P.K.L.

    Beliau yang juga telah berkhidmatan selama 27 tahun sejak 1991, menjelaskan bahawa bekerja dengan sifat amanah dan jujur perlu ada pada seorang penjawatan pengkhidmatan awam di samping bergerak seiringi dengan perubahan semasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda