MANILA, 17 JULAI – Kira-kira 1,624 orang yang hilang tempat tinggal akibat Gunung Berapi Mayon di Filipina dilaporkan mengalami jangkitan pernafasan akut, menurut Jabatan Kesihatan Filipina hari ini, lapor Xinhua.
Timbalan Setiausaha Kesihatan, Enrique Tayag berkata pihak berkuasa kesihatan di wilayah Albay melaporkan beberapa orang di pusat perlindungan sementara mengalami batuk, selesema dan sakit tekak.
“Terdapat peningkatan kes batuk, selesema dan sakit tekak dalam kalangan mangsa yang dipindahkan,” kata Tayag pada sidang akhbar. Bagaimanapun, beliau menambah tiada wabak jangkitan pernafasan di pusat pemindahan.
Pihak berkuasa telah memindahkan hampir 19,000 penduduk sepanjang 6km dari kaki gunung berapi, kira-kira 500km tenggara Manila sejak terdapat peningkatan aktiviti seismik baru-baru ini bermula pada 8 Jun.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina mengekalkan tahap amaran di sekitar gunung berapi itu pada tahap tiga daripada lima.
Gunung berapi itu terus memberi ancaman kepada penduduk, menghalang mereka daripada pulang ke kediaman masing-masing.
Penduduk yang hilang tempat tinggal kini ditempatkan di 27 pusat perlindungan kerajaan.
“Letusan berbahaya dalam beberapa minggu atau bahkan beberapa hari masih boleh berlaku,” pakar pengkaji memberi amaran pada Isnin.
Gunung Berapi Mayon kali terakhir meletus pada 2018, mengakibatkan lebih 23,000 orang dipindahkan dari sembilan bandar dan majlis perbandaran. – Bernama