Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Acara tahunan Distinguished Gentleman’s Ride (DGR) Brunei 2025 kelmarin berjaya mengumpul dana sebanyak $2,832, dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap isu kanser prostat dan kesihatan mental lelaki.
Menurut pihak penganjur, jumlah kutipan tahun ini menunjukkan komitmen berterusan komuniti tempatan dalam menyokong perjuangan global bagi memperjuangkan kesihatan lelaki melalui tunggangan berkonvoi secara berhemah dan bergaya.
Sumbangan tertinggi direkodkan oleh Aya Foo yang berjaya mengumpul sebanyak AS$1,039, diikuti oleh Aqilah Tali dengan AS$452, dan Muhammad Ibrahim Aziz Abdullah William dengan AS$439.
Acara yang memasuki tahun ke-10 penganjurannya di Brunei itu menyaksikan seramai 161 penunggang berdaftar menyertai konvoi berkonsepkan motosikal klasik dan pakaian formal, bermula dari Rev & Brew Kaffee Haus, Gadong, kelmarin.
Konvoi yang bertujuan mengubah persepsi masyarakat terhadap penunggang motosikal, turut merentasi beberapa laluan ikonik termasuk Jalan Kiulap, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien hingga ke Temburong, sebelum kembali semula ke ibu negara.
Azim Ghani sebagai penganjur dalam ucapannya berkata, sokongan para penunggang dan penyumbang amat membanggakan kerana selain meningkatkan kesedaran, ia juga berpotensi menyelamatkan nyawa mereka yang terkesan.
“Ini bukan sekadar acara berkumpul dan menunggang, tetapi platform untuk mengetengahkan kepentingan menjaga kesihatan lelaki yang sering kali terpinggir dalam perbincangan awam,” katanya.
Sejak diperkenalkan di Sydney, Australa pada 2012, DGR telah berkembang menjadi gerakan global merangkumi lebih 108 negara dengan kerjasama Movember Foundation dan telah berjaya mengumpulkan lebih AS$59.5 juta bagi inisiatif kesihatan lelaki.
Semua di atas: Antara suasana semasa konvoi berkenaan.