Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Seramai 162 orang pelajar Tahun 6 Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB), hari ini menghadiri Bengkel Motivasi Pelajar Cemerlang bagi mereka yang akan menghadapi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2025.
Bengkel berlangsung di dewan sekolah berkenaan itu antara lain bertujuan untuk memberikan motivasi, membina keyakinan diri dan mempersiapkan pelajar untuk menghadapi PSR dengan lebih tenang dan berkesan.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu, Pengetua SR YSHHB, Hajah Hafizah binti Haji Salat.
Bengkel motivasi disampaikan oleh penceramah motivasi undangan, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi, sebagai ketua fasilitator dari BeManfaat Management Services.
Beliau merupakan seorang motivator yang berpengalaman luas dalam membantu pelajar meningkatkan daya tumpuan, menguruskan tekanan emosi dan memperbaiki teknik pembelajaran yang berkesan.
Dalam ceramah motivasi khusus untuk pelajar PSR itu, beliau antara lain telah menggariskan empat aspek iaitu kesedaran cara mereka belajar, masa pelajar digunakan dengan bijak, aspek guru-guru untuk membawa pelajar mencapai kecemerlangan dan juga sokongan ibu bapa dan rakan sebaya.
Beliau seterusnya menjelaskan, empat aspek yang disampaikan dalam ceramah itu adalah hasil kajian dan pemerhatian yang telah dibuat dan untuk pelajar yang ingin mencapai kecemerlangan dan berjaya dalam pembelajaran dan kehidupan mereka perlu menerapkan empat aspek itu dalam diri masing-masing.

Menyentuh mengenai dengan respons daripada pelajar terhadap ceramah motivasi, ia memberi respons yang sangat positif, jelasnya, program itu bukan sahaja memberi aspek kesedaran, tapi ianya juga membawa emosi pelajar supaya inilah masa untuk mereka memberi pulangan yang menggembirakan ibu bapa mereka.
Di samping ceramah, pelajar turut melakukan aktiviti praktikal iaitu tekad untuk mencapai keputusan yang diharapkan, selain itu, guru-guru juga memberi respons yang positif terhadap program tersebut.
Selain itu, bengkel tersebut turut menekankan nilai-nilai murni seperti disiplin, tanggungjawab dan semangat bekerjasama dalam kalangan pelajar.
Bengkel tersebut dijangka akan memberikan impak yang signifikan kepada pelajar, bukan sahaja dalam pencapaian akademik tetapi juga dalam membentuk peribadi yang lebih positif dan berdedikasi.
Dalam sokongan daripada semua pihak, Bengkel Motivasi Pelajar Tahun 6 menjadi satu langkah penting dalam usaha membina generasi yang cemerlang demi masa depan negara.