SEOUL, Korea Selatan – Pengawal pantai Korea Selatan berkata satu operasi menyelamat sedang dijalankan selepas sebuah feri yang membawa 163 orang melanggar batu di perairan pantai barat daya negara itu hari ini.
Sekurang-kurangnya enam orang mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.
Menurut jurucakap pengawal pantai, prospek untuk menyelamatkan semua orang yang berada di atas feri tersebut adalah cerah memandangkan feri itu tidak menunjukkan tanda-tanda akan tenggelam atau tidak seimbang walaupun selepas pelanggaran yang berlaku di luar kepulauan Wilayah Sinan itu.
Empat pengawal pantai dan beberapa buah kapal awam yang berhampiran telah pergi ke tempat kejadian untuk membantu bagi operasi menyelamat.
Kesemua 158 penumpang dan lima kru kapal di feri itu memakai jaket keselamatan ketika mereka menunggu pegawai keselamatan tiba, kata pengawal pantai itu.

Sebelum ini, pihak pengawal pantai mengatakan feri itu membawa seramai 187 orang penumpang, namun mengatakan bahawa jumlah penumpang sebenar adalah 158 orang.
“Nampaknya depan feri itu melanggar batu selepas ia bertukar arah untuk mengelak daripada melanggar bot-bot menangkap ikan,” kata pegawai itu.
Seorang lagi pengawal pantai berkata bahawa berikutan daripada kemalangan itu, enam orang telah mengalami cedera ringan.
Kedua-dua pengawal pantai itu memberikan maklumat mereka dengan syarat nama mereka tidak akan disiarkan bagi memenuhi peraturan pejabat mereka.
Kawasan kemalangan itu tidak jauh dari kemalangan sebuah feri yang tenggelam pada tahun 2014 meragut lebih daripada 300 nyawa, dan menyebabkan kesedihan di seluruh negara dan mengecam unsur-unsur keselamatan yang longgar. – AP