Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Seramai 164 mualaf dari keempat-empat daerah sedang mengikuti Skim Bimbingan Lanjutan I Mualaf Siri ke-109 bagi lelaki dan Siri ke-110 bagi perempuan yang berlangsung selama 14 hari bermula 23 Jun hingga 10 Julai, kecuali Ahad.
Skim berkenaan merupakan inisiatif Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Pusat Dakwah Islamiah (PDI), di bawah kendalian Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf) dan Unit Dakwah Daerah-daerah, yang terus beriltizam memperkasa kebajikan serta meningkatkan kefahaman agama dalam kalangan para mualaf.
Daripada jumlah tersebut, 48 peserta berasal dari Daerah Brunei dan Muara, 47 peserta dari Daerah Tutong, 45 dari Daerah Belait dan 24 dari Daerah Temburong.
Pelaksanaan skim dijalankan secara serentak di Daerah Brunei dan Muara bertempat di Bangunan Darul Huda, PDI, Daerah Tutong bertempat di Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong (perempuan) dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain (lelaki), Daerah Belait bertempat di Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait dan Daerah Temburong bertempat di Pejabat Unit Dakwah Daerah Temburong
Skim tersebut merupakan kesinambungan daripada bimbingan berperingkat yang ditawarkan kepada para mualaf, termasuk Bimbingan Pengenalan Islam, Skim Bimbingan Asas dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, dan Skim Lanjutan II, selain Kelas Bimbingan Mualaf mingguan di setiap daerah.
Sepanjang pelaksanaan skim, peserta didedahkan dengan pengajian ilmu asas fardu ‘ain dan fardu kifayah yang merangkumi topik seperti Iqra’, Amali, Tauhid, Fiqh Shalat (sembahyang-sembahyang sunat), Fiqh Munakahat, Fiqh Haji, sejarah Islam, Tasawwuf serta sesi praktikal pengurusan dan penyempurnaan jenazah, isu permasalahan rumah tangga dan teknik penyembelihan ternakan.
Program berkenaan bertujuan menghalusi dan memperkukuh ilmu pengetahuan agama Islam dalam kalangan para mualaf, khususnya dalam aspek aqidah, ibadah dan akhlak, sekali gus menjadi landasan yang mantap ke arah pembentukan jati diri Muslim yang berilmu dan beramal.
Semua di atas: Antara suasana semasa program berkenaan.

