Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Sebanyak 1,650 karton rokok pelbagai jenis berjaya ditemui semasa operasi pencegahan jenayah rentas sempadan hutan di kawasan perhutanan Daerah Brunei dan Muara berhampiran sempadan Brunei-Malaysia, pada 8 Disember lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), operasi yang dijalankan oleh Pasukan Polis Simpanan ‘C’ Kompeni (Polis Hutan), PPBD, itu juga mengesan beberapa orang individu merentas kawasan perhutanan melalui jalan tikus di sempadan Brunei–Malaysia pada waktu malam.
Pasukan Polis Hutan telah bertindak untuk menyerbu kumpulan individu tersebut tetapi suspek-suspek telah meninggalkan barang-barang tegahan dan melarikan diri ke negara jiran.
Sementara itu, barang tegahan yang ditemukan dilaporkan ke balai polis yang berhampiran untuk penyerahan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi tindakan selanjutnya.
PPDB berserta agensi penguat kuasa undang-undang yang lain tidak akan ragu-ragu dalam menjalankan amanah dan tugas dalam menegakkan undang-undang negara, dan akan sentiasa komited dalam usaha untuk membanteras sebarang kegiatan-kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan-kawasan sempadan Negara Brunei Darussalam.