Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    1,650 khatam Al-Quran 40 kali

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Seramai 1,650 orang telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran 40 Kali Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK40), tahun 2024 anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang diadakan secara serentak di keempat-empat daerah, hari ini.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah berkenan berangkat ke majlis yang berlangsung di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ’Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ’Abdul Mateen.

    Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Men-teri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku pengerusi-pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun HK40 dan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pegawai Masjid, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat, yang diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran mulai dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad yang dikepalai oleh Awang Abdul Hadi Muaiyyad bin Haji Azrol, penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran yang dikepalai oleh mahasiswa-mahasiswa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan berangkat bagi Majlis Khatam Al-Quran 40 Kali Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan bunga telur pada majlis khatam di Masjid RPN Kampung Pandan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Antara peserta khatam Al-Quran 40 kali bagi Daerah Belait di Masjid RPN Kampung Pandan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    ATAS & BAWAH: Antara yang hadir pada Majlis Khatam Al-Quran 40 Kali di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Sementara itu, Doa Khatam pula dibacakan oleh Awang Muhammad Darul Irsyad bin Mohammed Jeffery, penuntut ITQSHHB dan diikuti dengan Dikir Marhaban oleh mahasiswa dan mahasiswa UNISSA.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Sementara itu, di Daerah Belait, majlis seumpamanya diadakan di Masjid RPN Kampung Pandan dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Di Daerah Tutong, majlis berlangsung di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Manakala itu, bagi Daerah Temburong, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar ialah Timbalan Menteri di JPM, Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.

    Antara lain tujuan majlis berkenaan adalah untuk menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun HK40, dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat, terutamanya dengan pembacaan Al-Quran selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir yang secara tidak langsung akan dapat mempertingkatkan dan mengukuhkan lagi persefahaman serta kerjasama antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia serta masyarakat ke arah menggalakkan penglibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti keagamaan.

    Para peserta khatam dari keempat-empat daerah berkenaan terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, penuntut-penuntut Institusi Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), sekolah menengah dan sekolah agama, ahli-ahli persatuan belia dan sukan serta pergerakan-pergerakan belia, pelatih Pusat Pembangunan Belia, sukarelawan-sukarelawan, belia-belia masjid serta qari dan qariah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda