Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    166 ditahan terlibat penipuan

    HOHHOT (CHINA), 15 Jan – Polis Wilayah Autonomi Inner Mongolia di Utara China, menahan 166 orang kerana terbabit dalam skim penipuan telekomunikasi, yang menyasarkan pekerja migran China melalui temu janji dalam talian, lapor agensi berita Xinhua.

    Pada Disember lepas, polis Baotou City menerima laporan mengenai mangsa yang diperdaya melalui temu janji dalam talian, berikutan itu pada Khamis, polis berjaya menumpaskan kumpulan itu di 22 kawasan di Baotou.

    Menurut ketua geng, dikenali Long, kumpulan itu menyasarkan pekerja migran dari wilayah barat daya Yunnan, Guizhou dan Sichuan dengan menggunakan aplikasi mudah alih.

    Modus operandi kumpulan itu dengan memperdaya mangsa, meminta menggantikan tiket kereta api dan penerbangan palsu atau meminta wang bagi tujuan menutup hal-hal kecemasan atau kesusahan.

    Menurut pihak polis, kebanyakan individu yang terlibat dengan komplot itu berasal dari Yunnan, Guizhou dan Sichuan serta menyertai kumpulan berkenaan melalui kenalan.

    Setakat ini, lebih 100 pekerja asing ditipu membabitkan wang bernilai lebih sejuta yuan (AS$154,800). Siasatan lanjut sedang dijalankan.

    Ramai penduduk di barat daya meninggalkan kampung halaman, untuk mencari kerja lebih baik di kawasan lebih maju di China.

    Pada 2016, China mempunyai kira-kira 282 juta pekerja asing. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda