Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak yang berlangsung selama dua hari bertempat di Pusat Kesihatan Muara telah berakhir pada hari ini yang menyaksikan seramai 110 orang hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 pertama mereka.
Sepanjang dua hari Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak tersebut, seramai 166 orang telah tampil bagi menerima suntikan vaksinasi mereka. Perkara tersebut adalah antara yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung pada petang tadi.
Perkhidmatan berkenaan adalah khusus bagi penduduk yang tinggal di kawasan Mukim Serasa, Mukim Mentiri dan sekitarnya. Di samping itu, Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak yang telah diadakan lima kali tersebut merupakan salah satu usaha dalam membantu negara beralih ke fasa seterusnya.
Dengan adanya perkhidmatan seumpama ini, ia dapat membantu menyenangkan para penduduk setempat dan kawasan sekitarnya untuk mengambil vaksinasi mereka. Selain itu, para penduduk setempat yang hadir juga berpeluang mendapatkan vaksinasi secara ‘walk-in’ dengan hanya perlu membawa kad pintar atau pasport serta Bru-HIMS mereka.
