PUTRAJAYA, 27 DIS – Pihak berkuasa menyekat akses ke atas 1,675 laman sesawang menjual produk farmaseutikal menyalahi undang-undang dan merampas pelbagai produk berkenaan bernilai lebih RM500,000 dalam Operasi Pangea ke-16 yang dijalankan di seluruh negara dari 3 hingga 10 Oktober lepas.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) Norhaliza A Halim berkata sebanyak 76 peratus daripada laman sesawang yang dikesan menjual produk farmaseutikal menyalahi undang-undang adalah menerusi platform e-dagang.
“Kesemua pautan ini telah diadukan kepada MCMC, penyedia platform media sosial dan e-dagang untuk disekat akses dan diturunkan kandungan.
Berlaku peningkatan dalam penjualan ubat-ubatan terkawal seperti bahan psikotropik, ubat penahan sakit, antibiotik dan ubat batuk yang dijual oleh penjual yang tidak berkelayakan atau tidak diberi kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi Pangea ke-16 dikoordinasi oleh Interpol menyasarkan pengiklanan, pembekalan dan penjualan secara dalam talian produk farmaseutikal yang tidak berdaftar atau dicampur palsu di seluruh dunia, dan di Malaysia ia diselaraskan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM. – Bernama


