Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Seramai 17 peserta yang terdiri dari AJK termasuk ahli-ahli serta isteri Persatuan Pesara Polis Diraja Brunei (POLSARA) telah menghadiri undangan mantan Squad PDRM 27/1974 Sabah yang bertempat di Mini Dewan Restoran Mashawi, Tanjung Aru, Kota Kinabalu. baru-baru ini.
Majlis diadakan adalah untuk menyambut 50 tahun tertubuhnya skuad berkenaan dan turut diisi dengan bacaan Doa Kesyukuran dan juga Doa Arwah kepada ahli-ahli Squad 27/1874.
Rombongan POLSARA telah diketuai oleh Yang Dipertua POLSARA, Supt (B) Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim. Majlis dimulai dengan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Kariah Masjid Al-Khautar, Kampung Tanjung Aru, Ustaz Rendra bin Ahmad dan diteruskan dengan kata-kata aluan ringkas daripada Pengerusi Penganjur Majlis, Supt (B) Haji Abd Latif bin Haji Ibrahim.
Dalam ucapan berkenaan, Haji Abd Latif menzahirkan keakraban dalam hubungan silaturahim antara pesara polis kedua-dua negara yang telah terjalin sejak tahun lepas serta mengharapkan agar ia menjadi wadah kepada generasi akan datang supaya hubungan ukhuwah berkenaan kekal terjalin.
Dalam ucapan balas beliau, Yang Dipertua POLSARA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kerana mengundang POLSARA untuk hadir menyerikan suasana majlis sambutan tersebut. Undangan daripada Skuad PDRM 27/1974 Sabah bukti menunjukkan dan mencerminkan hubungan setia kawan yang akrab.
Selepas itu, majlis diteruskan dengan sembahyang berjemaah Fardhu Zohor dan diikuti dengan takzirah ringkas berhubung dengan kenangan tugas yang pernah dipikul untuk negara yang disampaikan oleh Imam Ustaz Rendra. Majlis turut dilanjutkan dengan Doa Kesyukuran dan Doa Selamat serta Doa Arwah bagi ahli-ahli Pasukan Polis PDRM dan PDRB yang telah kembali ke rahmatullah.
Majlis ditutup dengan sesi bergambar ramai dan penyerahan buah daripada Setiausaha merangkap Bendahari Sub Insp. (B) Matjaya kepada para tetamu.