17 cedera, dua gajah mengamuk di Sri Lanka

COLOMBO, 10 SEPT – Tujuh belas cedera di Sri Lanka apabila dua ekor gajah mengamuk semasa satu upacara keagamaan dijalankan di Kotte, kata polis.

Penjaga kuil yang menunggang salah seekor mamalia berkenaan antara yang cedera, selain 13 wanita yang berebut untuk melarikan diri daripada gajah itu semasa menyambut perayaan Buddha di Kotte dekat Colombo, Sabtu lalu.

Tiada siapa mengalami kecederaan serius, kata pihak berkuasa.

Pakar gajah Jayantha Jayewardene berkata, haiwan itu berada dalam tempoh hormon reproduktifnya meningkat dan berkata pihak berkuasa kuil tidak mempedulikan prosedur yang betul.

“Kedua-dua ekor gajah itu tidak sepatutnya digunakan dalam upacara itu. Ada sistem yang jelas untuk menilai keadaan haiwan itu sebelum membenarkan ia mengambil bahagian,” katanya.

Pihak berkuasa di Bandaraya Kandy terpaksa menarik balik penyertaan gajah berusia 70 tahun itu daripada upacara berkenaan pada pertengahan Ogos lalu.

Haiwan itu dipaksa berjalan beberapa kilometer di sebalik kesihatannya yang jelas tidak mengizinkan.

Tiga tahun lalu, dua ekor gajah bergaduh ketika upacara kuil menyebabkan rempuhan yang meragut nyawa seorang wanita dan 12 lagi cedera.

Rekod rasmi menunjukkan terdapat kira-kira 200 ekor gajah peliharaan di negara di mana populasi haiwan itu alam liar dianggarkan sekitar 7,500 ekor. — AFP

Gambar yang diambil daripada rakaman video Derana TV menunjukkan orang ramai bertempiaran lari apabila seekor gajah mengamuk di Kotte dekat Colombo. – AP