Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    17 hilang tanah runtuh di China

    BEIJING, 16 OGOS – Lebih daripada sedozen pekerja masih hilang hari ini selepas tanah runtuh di barat daya China mengakibatkan sebahagian landasan kereta api yang sedang dibaiki tertimbus, menurut media negara itu.

    Seramai 17 pekerja yang hilang itu menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di landasan kereta api pada Rabu lalu, lapor China Daily.

    Kejadian tanah runtuh di daerah Ganluo di wilayah Sichuan berlaku sangat cepat, saksi memberitahu akhbar itu.

    “Saya melihat pergerakan pelik di lereng gunung selepas landasan itu bergerak dan saya menjerit, memberitahu semua orang untuk melarikan diri,” kata Chen Kun, pegawai dari China Railway Chengdu Group.

    “Batu-batu dan lumpur jatuh dalam masa dua atau tiga saat … ketika kami berlari, kami dapat merasakan batu mengejar kami,” kata Chen kepada China Daily. Operasi menyelamat sedang berjalan dengan 11 pekerja ditarik keluar dari runtuhan sedalam 70 meter (meter) di kawasan landasan itu, kata akhbar itu.

    Kawasan ini telah dilanda beberapa kejadian tanah runtuh pada musim panas ini kerana hujan lebat menyebabkan bukit-bukit di kawasan pergunungan runtuh. Di tempat lain di China, musim panas basah telah meragut beberapa jiwa.

    Minggu lepas, sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat di Bandaraya Wenzhou ketika Taufan Lekima melanda di sepanjang pantai timur China. – AFP

    Gambar fail pada 15 Ogos lalu menunjukkan anggota penyelamat sedang mencari mangsa runtuhan di tapak tanah runtuh di Ganluo di wilayah barat daya Sichuan, China. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda