Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    17 juta alami long COVID di EU

    BAITULMAQDIS, 14 SEPT – Penyelidikan baharu mencadangkan sekurang-kurangnya 17 juta orang di Kesatuan Eropah (EU) mungkin telah mengalami simptom long COVID dalam tempoh dua tahun pertama pandemik koronavirus, dengan wanita lebih cenderung mengalaminya berbanding lelaki, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

    Penyelidikan itu, dijalankan untuk WHO Eropah, namun tidak jelas sama ada gejala yang berlarutan, berulang atau pertama muncul sekurang-kurangnya satu bulan selepas jangkitan koronavirus adalah lebih lazim dialami dalam orang yang sudah divaksinasi atau mereka yang belum menerima vaksin. Sekurang-kurangnya 17 juta orang memenuhi kriteria WHO untuk long COVID – dengan gejala berlarutan sekurang-kurangnya tiga bulan pada 2020 dan 2021, kata laporan.

    “Jutaan orang di rantau kami, di antara Eropah dan Asia Tengah, mengalami simptom beberapa bulan selepas jangkitan awal COVID mereka,” kata Hans Henri P Kluge, Pengarah Serantau WHO untuk Eropah, semasa persidangan di Tel Aviv.

    Model juga mencadangkan wanita mempunyai risiko dua kali ganda berbanding lelaki untuk mengalami long COVID, dan risiko meningkat secara dramatik dalam jangkitan yang perlu dimasukkan ke hospital. Satu dalam tiga wanita dan satu dalam lima lelaki berkemungkinan mengalami long COVID, menurut laporan.

    “Mengetahui jumlah orang yang terjejas dan tempohnya adalah penting untuk sistem kesihatan dan agensi kerajaan membangunkan perkhidmatan pemulihan dan sokongan,” kata Christopher Murray, pengarah Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan, yang menjalankan penyelidikan untuk WHO.

    Kajian veteran AS yang disiarkan dalam Nature Medicine pada Mei mendedahkan bukti baharu menunjukkan long COVID boleh berlaku walaupun selepas berakhirnya jangkitan dalam penduduk yang sudah menerima vaksin, dan orang dewasa lebih tua berdepan risiko lebih tinggi untuk mengalami kesan jangka panjang.

    Kajian menunjukkan kira-kira satu pertiga yang dijangkiti menunjukkan tanda-tanda long COVID. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda