Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Sebanyak 17 buah keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir, kebakaran, angin kencang dan rumah roboh telah menerima bantuan berjumlah $30,350 keseluruhannya pada majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari
ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohammad.
Usaha tersebut menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), KKBS terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.
Pada majlis berkenaan, empat ketua keluarga yang menerima bantuan kewangan adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir, enam terlibat dalam kejadian kebakaran, tiga terlibat dalam kejadian rumah roboh atau tidak selamat untuk didiami dan empat terlibat dalam kejadian angin kencang.
Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemberian bantuan kewangan berkenaan adalah bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga.