Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    17 kes berkaitan EVALI dikesan

    KUALA LUMPUR, 13 JUN – Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima sejumlah 17 kes berkaitan rokok elektronik (EVALI) setakat bulan ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

    Beliau berkata semua pengamal perubatan diminta terus membuat notifikasi kepada pihak KKM sekiranya mana-mana pesakit dikesan menghidap EVALI.

    “Oleh yang demikian, KKM ingin mengingatkan semua pengguna bahawa rokok elektronik atau vape adalah tidak selamat kerana memberikan kesan buruk kepada kesihatan dan ia bukan satu kaedah alternatif untuk berhenti merokok.

    “Bagi mereka yang me-rokok dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan di Klinik Berhenti Merokok yang disediakan di klinik-klinik kesihatan berdekatan atau melayari laman sesawang www.jomquit.com,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Muhammad Radzi berkata pada 2021, Panduan Amalan Klinikal Pengurusan EVALI telah diwujudkan oleh KKM bagi membantu pengamal perubatan mengesan dan merawat kes-kes EVALI.

    Beliau berkata pada Jun tahun lepas, KKM telah memulakan aktiviti pemantauan penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik termasuk EVALI melalui Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan berkaitan keperluan notifikasi.

    Katanya sehingga kini, penggunaan rokok elektronik telah terbukti mendatangkan kemudaratan kerana bahan terkandung dalam cecair rokok elektronik apabila dipanaskan akan menghasilkan bahan kimia yang boleh memberi kesan keradangan kepada lapisan paru-paru dan menyebabkan penyakit EVALI. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda