Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    17 maut, 8 hilang akibat banjir kilat dan tanah runtuh

    JAKARTA, 21 JAN – Pasukan penyelamat di Indonesia telah menemui sekurang-kurangnya 17 mayat yang dihanyutkan oleh banjir kilat atau tertimbus di bawah timbunan lumpur dan batu yang melanda perkampungan berbukit di Pulau Jawa, kata pegawai hari ini. Manakala lapan orang lagi dilaporkan hilang.

    Hujan lebat kelmarin menyebabkan sungai melimpah dan memusnahkan sembilan perkampungan di daerah Pekalongan, Jawa Tengah. Lumpur, batu dan pokok tumbang menghempap perkampungan di lereng bukit, menurut Bergas Catursasi, Ketua Agensi Pengurusan Bencana Tempatan.

    Beliau berkata pasukan penyelamat sehingga hari ini telah menemui sekurang-kurangnya 17 mayat di kampung paling teruk terjejas, Petungkriyono. Usaha mencari lapan penduduk yang dilaporkan masih hilang sedang dijalankan. Seramai 11 mangsa yang cedera berjaya menyelamatkan diri dan telah dibawa ke hospital berhampiran, kata Catursasi.

    Rakaman televisyen menunjukkan polis, tentera dan penyelamat menggunakan jentera berat, peralatan pertanian, serta tangan kosong untuk mencari mangsa yang tertimbus di perkampungan yang musnah. Beberapa penyelamat dilihat mengusung mangsa menggunakan pengusung buluh atau beg mayat ke ambulans dan trak.

    “Keadaan cuaca buruk, tanah runtuh dan kawasan yang berbukit menyukarkan operasi menyelamat,” tambah Catursasi. Dia juga menyatakan bahawa beberapa penduduk yang sedang memancing di sungai atau berteduh dari hujan dihanyutkan oleh banjir kilat.

    Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Abdul Muhari, berkata banjir kilat bukan sahaja menghanyutkan penduduk kampung dan kenderaan tetapi turut mencetuskan tanah runtuh yang menimbus dua rumah.

    Bencana itu juga memusnahkan dua jambatan utama yang menghubungkan perkampungan di daerah Pekalongan. – AP

    Gambar menunjukkan anggota penyelamat membawa mayat mangsa banjir kilat di Pekalongan, Jawa Tengah, Indonesia kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda