LOS ANGELES, 27 Sept – Jumlah kematian akibat Hepatitis A di San Diego, California Amerika Syarikat mencecah 17 orang, menurut statistik terkini dikeluarkan agensi perkhidmatan kesihatan wilayah itu, kelmarin.
Daripada 461 kes yang telah disahkan, jumlah pesakit dirawat di hospital ialah seramai di 315 orang, lapor agensi berita China Xinhua.
Pesakit yang dijangkiti turut melibatkan golongan gelandangan dan mereka yang menggunakan dadah haram.
Pihak berkuasa tempatan turut mengambil langkah pencegahan dengan membina bilik mandi khas bagi pekerja buruh sementara di San Diego dalam usaha mengekang penyebaran virus berkenaan.
Sehingga 23 September, lebih 42,000 pemberian vaksin dilaksanakan di daerah itu.
Kecemasan kesihatan diisytiharkan di daerah itu pada 1 Sept dan akan disemak setiap dua minggu.
Jangkitan Hepatitis A, sangat berkait rapat dengan air yang tidak bersih, sanitasi kurang baik dan tahap kebersihan diri yang rendah, ia boleh merosakkan fungsi hati dan boleh menyebabkan kematian. – Bernama