Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    17 maut dalam kemalangan bas

    ANKARA, 30 Mac – Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 36 orang lain cedera selepas sebuah bas yang membawa penghijrah haram terlanggar sebatang tiang lampu di timur Turki dan terbakar, lapor media tempatan hari ini.

    Bas itu, yang berdepan nahas lewat semalam di lebuh raya Igdir-Kars, sedang membawa warga dari Iran, Pakistan dan Afghanistan, lapor agensi berita Anadolu.

    Gambar dalam media Turki menunjukkan asap naik daripada bas hangus dengan bahagian depannya remuk dan penghijrah terlantar di atas jalan raya dengan muka berdarah.

    “Apabila kami tiba di tempat kejadian, kami mendapati berlakunya tragedi penghijrah,” beritahu gabernor wilayah Igdir Enver Unlu kepada wartawan di tempat kejadian.

    “Kami amat sedih penyeludupan penghijrah yang kerap berlaku di wilayah kami, telah berakhir dalam kemalangan jalan raya.”

    Orang ramai membantu mangsa yang cedera yang terlibat dalam kemalangan bas di Igdir, kelmarin. Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 36 lainnya cedera selepas sebuah bas yang membawa penghijrah haram terlanggar sebatang tiang lampu di timur Turki dan terbakar. – AFP

    Pegawai kesihatan berkata sesetengah mangsa yang cedera berada dalam keadaan yang serius.

    Bas mempunyai kapasiti 14 orang tetapi lebih 50 orang termasuk wanita berada dalam bas, menurut Anadolu.

    Pendakwa awam Igdir telah memulakan siasatan dalam kejadian itu sementara pegawai berusaha mengenal pasti pemandu.

    Tiga belas penghijrah haram ditahan oleh anggota keselamatan dalam sebuah bas lain, yang dikatakan oleh Anadolu dalam perjalanan yang sama dengan bas yang terbabit dalam kemalangan.

    Kemalangan jalan raya biasa berlaku di Turki. Penyiar negeri Turki TRT berkata pada bulan lalu 3,530 orang terbunuh di jalan raya pada 2017. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda