ISTANBUL, 27 NOV – Sekurang-kurangnya 17 orang maut manakala 20 yang lain cedera di utara Syria yang dikuasai Turki akibat letupan bom kereta, kata kementerian pertahanan Turki, semalam.
Serangan berkenaan berlaku di perkampungan Tal Halaf, di barat bandar Ras Al Ayn, yang kini berada di bawah penguasaan tentera Turki selepas serangan pada Oktober lalu, kata kementerian menerusi kenyataan rasmi di akaun Twitter.
Beberapa kenderaan turut hancur berkecai dalam letupan yang berlaku di pasar di kampung berkenaan.
Serangan terbabit dipercayai dilakukan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) yang didakwa Ankara sebagai serpihan Parti Pekerja Kurdish (PKK), iaitu pihak bertanggungjawab melancarkan pemberontakan menentang Turki sejak 1984.
“Kumpulan pengganas PKK terus melakukan serangan bom kereta yang disasarkan kepada orang awam. Pembunuh kanak-kanak itu kali ini meletupkan bom kereta di perkampungan Tal Halaf di barat Ras Al Ayn, membunuh 17 orang dan mencederakan lebih daripada 20 penduduk,” kata kementerian pertahanan di Twitter. – AFP
