Wednesday, December 25, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    17 pegawai dibicara berhubung rasuah penerbangan COVID-19

    HANOI, 24 DIS – Belasan pegawai Vietnam dihadapkan ke mahkamah di Hanoi hari ini atas dakwaan rasuah berkaitan penerbangan membawa pulang warganegara itu semasa pandemik COVID-19, satu skandal yang menyaksikan 54 individu dipenjarakan tahun lalu.

    Kes itu merupakan sebahagian daripada kempen anti-rasuah besar-besaran yang telah menyebabkan peletakan jawatan seorang presiden dan dua timbalan perdana menteri di negara yang biasanya mengatur percaturan politik dengan teliti.

    Tahun lalu, 54 pegawai dan ahli perniagaan didapati bersalah menerima, menawarkan atau menjadi perantara rasuah yang menurut media kerajaan berjumlah AS$9.5 juta.

    Mereka termasuk empat bekas pegawai kanan di kementerian luar negeri, kesihatan dan keselamatan awam, yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

    Antara 17 individu yang dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan menyembunyikan penjenayah adalah pegawai kementerian pengangkutan dan wilayah serta pekerja syarikat pelancongan.

    Pegawai Vietnam yang dituduh terlibat dalam rasuah berkaitan penerbangan bawa pulang warga Vietnam pada permulaan pandemik COVID-19 berdiri semasa perbicaraan mereka di Mahkamah Rakyat Hanoi, Vietnam. – AFP

    Tran Tung, bekas pegawai untuk wilayah Nguyen Thai utara, memberitahu mahkamah dia telah menerima kira-kira AS$300,000 sebagai rasuah dan komisen untuk mengatur kemudahan kuarantin. Perbicaraan dijangka berlangsung selama seminggu.

    Pada kemuncak pandemik awal 2020, ketika Vietnam menutup sempadannya kepada hampir semua orang kecuali warganegara yang pulang, tertuduh didakwa memberi atau menerima rasuah untuk membantu orang mendapatkan tempat dalam penerbangan pulang.

    Pada masa itu, mereka yang pulang menghadapi prosedur kemasukan yang rumit, penerbangan mahal dan kos kuarantin.

    Tahun lalu, seorang ibu dari Hanoi memberitahu AFP bagaimana dia membelanjakan lebih AS$10,000 untuk membawa pulang anak remaja perempuannya kembali ke Vietnam dari sebuah sekolah berasrama penuh di Eropah pada puncak pandemik.

    Tuduhan rasuah itu muncul sebagai sebahagian daripada kempen anti-rasuah yang telah mendedahkan beberapa perjanjian dibuat semasa tindak balas pandemik COVID-19 Vietnam. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda