BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Seramai 17 pelajar Fakulti Pertanian dari Tahun 1 hingga Tahun 4 yang mengikuti bidang Agribisnis dan Agroteknologi Fakulti Pertanian, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berkunjung ke Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu, (UPMKB) Sarawak untuk menyertai Program Outbound, Global Interaction (GLINT) UNISSA-UPMKB 2025.
Rombongan tersebut telah diiringi oleh dua pensyarah, iaitu Timbalan Dekan Fakulti Pertanian, Dr Nur Thaqifah Salihah binti Haji Mohd Salleh, dan Ketua Program Sarjana Muda, Fakulti Pertanian, UNISSA, Dr Syahirah binti Haji Shahlehi.
Program Outbound itu bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai pendekatan akademik, penyelidikan dan amalan pertanian moden yang dijalankan di UPMKB.
Sepanjang program, para pelajar telah berpeluang mengadakan sesi perbincangan, menghadiri taklimat akademik serta melawat fasiliti-fasiliti pertanian seperti lawatan di dalam kampus UPMKB, lawatan ke Taman Rusa, Hortikultur, Kolam Ikan serta lawatan Penanda Aras di Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan.
Program berkenaan diharap dapat memperkukuh dan mengekalkan hubungan akademik di antara kedua-dua institusi.
Selain itu, ia juga diharapkan dapat memberikan pengalaman dan ilmu pengetahuan tentang kelestarian pertanian serta menggalakkan semangat inovasi dan keusahawanan dalam diri mereka dalam bidang pertanian.