Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    17 peserta tamat program ELP dirai

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Seramai 17 orang peserta dari Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) telah berjaya menamatkan Program Latihan Kepimpinan (ELP) selama empat bulan yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Para peserta berkenaan telah diraikan dalam majlis penyampaian sijil yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan UTB, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Ketua Eksekutif AITI, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar melahirkan harapan agar program ELP akan dapat meningkatkan lagi pengetahuan, memahami dan mengaplikasikan secara praktikal apa yang telah dipelajari ke dalam kerja harian dan menjadi lebih yakin berbanding sebelum ini.

    Beliau turut berkeyakinan bahawa pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi memberikan manfaat kepada peserta bagi kerjaya masing-masing, selain menyeru untuk terus menimba ilmu bagi menyesuaikan diri dengan dunia yang sentiasa berubah ini.

    Salah seorang peserta menerima sijil tamat program daripada tetamu kehormat majlis. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    “Dengan pengalaman dalam membangunkan kertas dasar, bekerja di bawah tekanan masa, ia memerlukan banyak keberanian dan itu akan menjadikan seorang yang lebih tabah dan berazam bagi membawa AITI ke peringkat seterusnya.

    “Kepimpinan sejati berkembang bukan secara berasingan, tetapi dalam kekuatan pasukan yang diperkasakan,” tegasnya.

    Beliau turut menggalakkan para peserta bagi berkongsi perjalanan pembelajaran program kepada rakan sekerja atau orang lain.

    Dengan berkongsi pandangan dan pengalaman, jelasnya, ia akan dapat membantu meningkatkan tahap kepimpinan keseluruhan dan memberikan inspirasi kepada orang lain berusaha mencapai kecemerlangan.

    Acara tersebut mengongsikan tayangan multimedia mengenai pengisian program yang disertai oleh peserta program dan acara turut mendengarkan ucapan penghargaan yang telah disampaikan oleh Dayang Umi Kalshum binti Awang Suhaimi, wakil peserta ELP batch 2 dan penerima anugerah peserta terbaik kohort.

    Beliau antara lain mengongsikan, program berkenaan telah menjadi kunci untuk membuka potensi dan kualiti kepimpinan dan meningkatkan keyakinan, kreativiti, kemahiran komunikasi mereka dan mengajar mereka kemahiran penting seperti pengurusan masa yang berkesan, kemahiran perundingan, pertikaian dan pengurusan konflik.

    “Melalui latihan pembinaan pasukan, kami mempelajari nilai kerjasama, kreativiti dan melontarkan idea yang berjaya, yang kesemuanya merupakan komponen penting dalam kepimpinan yang baik. Kami menghadapi halangan secara berterusan dan muncul dengan kejayaan,” jelasnya.

    Kejayaan kerjasama antara UTB dan AITI itu, dimanifestasikan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 2022, telah menghasilkan penubuhan program pembangunan kepimpinan yang inovatif ini.

    Program yang bermatlamat bagi menyediakan peserta dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan, membolehkan mereka memanfaatkan peluang, mengatasi cabaran dan memupuk berkesan kepimpinan.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Dekan Sekolah Perdagangan UTB, Profesor Madya Dr Mohamed Ismail Seyed Mohamed Buhari.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...