Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    17 tamat kursus kejurulatihan bola sepak

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Seramai 17 orang peserta menerima sijil penyertaan selepas menamatkan kursus Diploma Kejurulatihan ‘B’ Persatuan Bola sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) semasa majlis penutup yang diadakan di Galeriku, Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS), Kiulap, hari ini.

    Seramai empat orang jurulatih dari luar negara iaitu Syah Juan bin Mohd Nor dari Malaysia, Perkantara Armadi dan Muchamad Rifqi Almudin dari Indonesia serta Rich Michael Foley, tenaga pengajar dari United Kingdom yang berpangkalan di Brunei Darussalam, menganjurkan kursus tersebut.

    Tenaga pengajar kursus NFABD, Mohammad Ikhmarol Izzat bin Haji Omar berkata, “Kandungan latihan menumpukan permainan kelompok kecil yang melibatkan sekumpulan pemain.” Sebelum ini, Diploma Kejurulatihan ‘C’ menumpukan latihan individu.

    “Majoriti jurulatih datang daripada kelab-kelab dan saya berharap mereka dapat membantu kelab untuk melakukan lebih lagi daripada aspek teknikal perlawanan. Latihan ini direka dengan langkah teknikal dalam kumpulan.”

    Mohammad Ikhmarol Izzat juga berharap para peserta kursus akan dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari daripada kursus sepanjang sesi latihan bagi membantu mengembangkan sukan bola sepak di negara ini.

    Para jurulatih dimestikan untuk aktif dalam kelab dan akademik bagi tempoh dua tahun untuk mendapatkan daripada Lesen ‘C’ ke Lesen ‘B’.

    Selepas mendapat Lesen ‘B’, bagi mendapatkan Lesen ‘A’ mereka perlu melengkapkan tempoh dua tahun dengan mengumpulkan jumlah 200 jam dalam buku log.

    Badan pengurusan bola sepak kebangsaan menegaskan keinginan mereka untuk menambah jumlah jurulatih berkelayakan terutama pemegang Lesen ‘B’.

    Lanjutan bahagian pertama kursus yang diadakan tahun lalu, bahagian kedua telah diadakan pada 20 hingga 29 Julai lalu. Hadir bagi menyampaikan sijil penyertaan ialah Presiden NFABD, Pengiran Haji Metusin bin Pengiran Pengiran Haji Matasan.

    Presiden NFABD menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta kursus.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda