Friday, October 18, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    17 terima sijil program latihan serantau

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Bagi mengakhiri sebuah program latihan serantau anjuran SEAMEO VOCTECH, majlis penutup dan penyampaian sijil telah diadakan petang tadi di Gadong.

    Hadir sebagai tetamu kehormat ke majlis berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak, Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R Tirol-Ignacio.

    Turut hadir ialah Pemangku Pengarah SEAMEO VOCTECH, Pengiran Haji Mohamad Sufri bin Pengiran Ali bersama pengurusan dan kakitangan SEAMEO VOCTECH.

    Bertemakan Integrating Transferable Skills into the TVET Curriculum, program latihan tersebut telah disertai oleh 17 orang guru Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari 11 buah negara anggota SEAMEO.

    Program latihan selama dua minggu itu mengetengahkan teori dan latihan praktikal dengan tujuan untuk menyediakan peserta tentang pemahaman mendalam dan kemahiran yang boleh dipindah milik, cara mengenal pasti dan mengintegrasikannya ke dalam kurikulum TVET.

    Fasilitator utama, Dayang Noorhayati Cynthia Noorhaizamdin, bersama fasilitator-fasilitator lain, Dr Paryono dan Awang Ariffin Yusof, membimbing peserta melalui pelbagai topik yang membantu mereka membangunkan penyelesaian yang boleh digunakan secara langsung dalam konteks pengajaran masing-masing.

    Setelah tamat program latihan, peserta dapat membangunkan strategi pengajaran untuk mengintegrasikan kemahiran boleh pindah yang dikenal pasti ke dalam kurikulum, menilai tahap pembelajaran kakitangan dan pelajar tentang kemahiran boleh pindah yang berkaitan dengan menggunakan alat penilaian yang sesuai, serta membina pelan tindakan.

    Sebagai bukti pembelajaran mereka daripada program latihan berkenaan, peserta dikehendaki menyampaikan pembentangan pada tugasan tertentu dengan pengetahuan dan kemahiran yang baharu mereka kuasai.

    ATAS & BAWAH: PYT Marian Jocelyn R Tirol-Ignacio menyerahkan sijil kepada salah seorang peserta semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda