Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Seramai 18 warga Bangladesh telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) di sini semasa Operasi Bersepadu Sakat 172/2023 yang menyasarkan beberapa buah rumah sewa di Mukim Berakas A.
Operasi bersepadu melibatkan pegawai dan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) dan Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan, Kementerian Pembangunan.

Daripada 18 orang yang ditahan, 17 orang gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah semasa pemeriksaan dijalankan, manakala itu, seorang daripadanya dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1) Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa setelah pasnya mansuh di negara ini.
JPE telah mengambil tindakan memotong pendawaian elektrik pada dua buah rumah sewa yang diperiksa kerana tidak mengikut panduan keselamatan elektrik dan pendawaian yang dilakukan oleh pemborong yang tidak berdaftar.
Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan, Kementerian Pembangunan turut mengambil tindakan semasa pemeriksaan yang dijalankan kerana membangun tempat tinggal tanpa kebenaran Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan.
Operasi bersepadu tersebut adalah salah satu usaha berterusan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini dalam misi membanteras dan membendung kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan di negara ini.
JIPK turut mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi ke hotline JIPK di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) dan 8984111 (Kuala Belait).







