Wednesday, September 18, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    171 ditahan bantu siasatan ekploitasi kanak-kanak, agama

    KUANTAN, 11 SEPT – Seramai 171 individu ditahan selepas polis menyerbu 20 rumah amal yang terletak di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, bagi membantu siasatan kes sebuah syarikat yang didakwa mengeksploitasikan kanak-kanak dan agama.

    Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata menerusi Op Global yang dijalankan sekitar 6 hingga 11 pagi itu, mereka yang ditahan terdiri daripada 66 lelaki dan 105 wanita yang bertugas sebagai penjaga, ustaz dan pengerusi rumah amal berkenaan, yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 17 hingga 64 tahun.

    Susulan penahanan itu, beliau berkata pihaknya telah menyelamatkan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun, yang akan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. “Kanak-kanak yang diselamatkan ini kita akan saring kesihatan dan buat dokumentasi dan dijangka mengambil masa sehingga 14 hari, kerana melibatkan individu yang ramai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini.

    Razarudin berkata, daripada maklumat risikan yang diterima, mangsa diajar untuk meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain. 

    Selain itu, beliau berkata mangsa yang tidak sihat juga tidak dibenarkan mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal, selain suspek menggunakan objek panas bagi mencederakan mangsa sebagai tanda menghukum atas kesilapan yang dilakukan.

    “Mangsa kanak-kanak dan sentimen agama digunakan untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan, selain mereka juga menyentuh tubuh badan mangsa dengan alasan rawatan Islam. Siasatan awal mendapati kanak-kanak ini bukan anak yatim, bila lahir sahaja sampai umur setahun atau dua tahun mereka akan diletakkan di rumah amal itu dengan pengetahuan ibu bapa. Kegiatan mendoktrinkan kanak-kanak menggunakan pendekatan agama adalah satu perkara yang tidak baik,” katanya.

    Razarudin juga tidak menolak kemungkinan kes kematian turut berlaku angkara kegiatan sindiket itu, namun akan menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara berkenaan selain memaklumkan bermula tahun 2011 sehingga 7 September, lebih 40 laporan polis telah dibuat terhadap syarikat itu.

    “Ada bekas ahli yang membuat laporan namun diugut sehingga mereka menarik balik laporan berkenaan,” katanya menambah tiada mana-mana parti politik terlibat dengan kegiatan syarikat tersebut buat masa ini. – Bernama

    Gambar bertarikh 11 September 2024 menunjukkan keadaan lengang dan sepi di sekitar Pusat Jagaan Baitul Mahabbah. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda