172 hari tanpa jangkitan tempatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Negara Brunei Darussalam mencatatkan sifar kes baharu jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini kekal pada 148 orang dengan dua kes aktif sedang dirawat dan jumlah kes yang sembuh kekal pada 143 orang serta tiga kematian.

Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan pada 6 Mei iaitu 172 hari yang lalu dan jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah tujuh kes.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, jumlah mereka yang sedang menjalani penga- singan diri mandatori ialah seramai 281 orang dengan mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 seramai 7,367 orang.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 206 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 66,583 ujian.

Bagi orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.