Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Seramai 172 orang penuntut baharu tingkatan enam bawah (L6) memulakan alam pembelajaran mereka yang baru di mana kedatangan mereka ke Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) diraikan dalam Majlis Kemasukan dan Orientasi Pelajar L6 bagi Sesi 2023/2024 di PTET baru-baru ini.
Hadir semasa majlis berkenaan ialah Pemangku Pengetua, Awang Muhd Shahnofazli bin Haji Sabli; Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Azrin bin Haji Bolhassan; Timbalan Pengetua, Koo Keung Eng, ahli-ahli Persatuan Ibu bapa (PIBG) PTET, tutor PTET, penuntut dan ibu bapa.
Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Muhd Shanofazli mengongsikan mengenai keputusan peperiksaan AS/A Level bagi 2022, kepentingan aktiviti orientasi serta mengenal pasti persekitaran pusat dan nilai-nilai teras PTET.
Beliau juga menekankan pentingnya bagi pelajar untuk meneruskan kecemerlangan di PTET bukan sahaja dari segi akademik, malah kokurikulum.
Beliau turut menekankan tiga elemen penting bagi mencapai kejayaan iaitu ketekalan pelajar dalam proses pembelajaran, persediaan tutor dan sokongan daripada ibu bapa.
Majlis diteruskan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh para guru termasuk taklimat hal ehwal pentadbiran yang disampaikan oleh Awang Azrin, taklimat akademik yang disampaikan oleh Koo Keung Eng dan taklimat PIBG PTET yang disampaikan oleh Pengerusi PIBG PTET bagi sesi 2022/2024, Haji Roslan bin Datu Hulubalang Haji Abdul Wahab.
Majlis turut menyaksikan semua pelajar L6 melafazkan ikrar pelajar yang diketuai oleh bekas pelajar Mahad Islam Brunei, Tutong dan kini menganggotai pelajar L6-5, Awang Kaseh Ikhwan Afif Jazimin bin Muhammad Rosdi.
Setelah majlis berakhir, semua pelajar L6 dibimbing oleh pelajar-pelajar MPP/PRR 2022/2023 untuk melawat kelas-kelas, kawasan keliling sekolah dan seterusnya memulakan sesi suai kenal pelajar baharu L6.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/03/P9-1a-PTET-FA_01032023.jpg)