Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Seramai 173 orang graduan menerima sijil dan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Pusat Pembangunan Belia (PPB) Sesi 2022 dan Sesi 2023 yang berlangsung di Dewan Binadiri, PPB, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.
Hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan yang diraikan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa para belia hari ini perlu tampil berani mengubah diri daripada sekadar menunggu peluang kepada menjadi pencipta peluang.
“Dengan kemahiran yang telah diasah dan jati diri yang terbentuk, belia harus bersedia meneroka bidang-bidang baharu, membina jenama sendiri serta mencipta ruang pekerjaan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, malah turut memperkukuh ekonomi negara yang mampan dan inklusif.
“Inilah masanya untuk melangkah ke hadapan sebagai generasi pelakar masa depan, yang berani mencipta perubahan dan membina legasi,” tambahnya.






Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menyatakan PPB telah melaksanakan pelbagai usaha yang signifikan ke arah memperkasa latihan kemahiran kepada belia dan komuniti di negara ini.
“Dalam tempoh satu tahun kebelakangan ini sahaja, sebanyak 60 buah kursus telah berjaya dilaksanakan melalui Program Jangka Pendek dan Program Artisan Skills dengan penyertaan lebih kurang 1,387 orang belia dan ahli komuniti,” ujarnya.
Usaha itu, jelasnya, menunjukkan komitmen PPB dalam melahirkan graduan yang kebolehpasaran, sama ada untuk memasuki pasaran pekerjaan, mengendalikan perusahaan sendiri atau melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.
Manakala itu, Penolong Pengarah PPB, KKBS, Awang Haswandi bin Haji Osman dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan PPB sentiasa komited dalam menyediakan pendidikan teknikal yang relevan dan berdaya saing, selaras dengan keperluan industri dan aspirasi negara.
Beliau menyatakan lagi pendidikan teknikal mampu melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, berpengetahuan dan bersedia menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Majlis seterusnya menyaksikan Yang Berhormat Dato menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan program berkenaan.
Acara kemuncak pada majlis ialah penyampaian dua Anugerah Pelatih Cemerlang kepada Awang Hanif bin Jimin daripada Kursus Skills Proficiency Certificate in Basic Refrigeration and Air Conditioning bagi Sesi 2022, manakala bagi Sesi 2023 dianugerahkan kepada Awang Nur Arief Zulfadhly bin Nor Hashim daripada Kursus ITQ Level for IT User.

