Oleh Sim Y. H., Yusrin Junaidi, Salawati Haji Yahya, Nurdiyanah & Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini, sekali lagi telah berkenan mengurniakan kurnia peribadi Baginda kepada seramai 17,352 orang penerima di seluruh negara daripada golongan-golongan tertentu terdiri daripada orang-orang berkeperluan khas, anak-anak yatim, orang fakir miskin dan penerima bantuan kebajikan bulanan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Kurnia peribadi Baginda Sultan itu merupakan kali ke-16 ia diadakan yang bertujuan untuk membantu meringankan bebanan golongan-golongan tertentu di negara ini.
Pengagihan kurnia peribadi dimulakan dengan pengagihan kurnia peribadi oleh paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia selaku wakil-wakil peribadi Baginda di keempat-empat daerah dengan diikuti pengurniaan secara serentak di beberapa pusat pengagihan yang telah ditetapkan.
Berangkat bagi memulakan pengurniaan Kurnia Peribadi sebagai wakil-wakil peribadi Banginda Sultan bagi Daerah Brunei dan Muara di Dewan Resepsi, Istana Nurul Iman ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Manakala di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman, ia disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah.
Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota di Dewan Resepsi dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Di majlis berkenaan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyampaikan kurnia peribadi Baginda Sultan kepada seramai 1,000 orang penerima bagi Daerah Brunei dan Muara.
Sementara itu, keberangkatan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah ke Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Arif Haji Hassan bin Haji Metali. Di majlis berkenaan, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah berkenan menyampaikan kurnia peribadi Baginda Sultan kepada seramai 1,000 orang penerima.
Manakala berangkat selaku wakil peribadi Baginda Sultan bagi menyempurnakan Majlis Pengurniaan Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Daerah Belait ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik ke Dewan Pusat Insani Seria, Daerah Belait dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin. Di majlis berkenaan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik berkenan menyampaikan kurnia peribadi Baginda Sultan kepada seramai 1,000 orang penerima bagi Daerah Belait.
Sementara itu, berangkat selaku wakil peribadi Baginda Sultan bagi menyempurnakan Majlis Pengurniaan Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Daerah Tutong ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.
Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel ke Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof. Di majlis berkenaan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel telah berkenan menyampaikan kurnia peribadi Baginda Sultan kepada seramai 1,000 orang penerima dari Daerah Tutong.
Pada masa yang sama, berangkat selaku wakil peribadi Baginda Sultan di Daerah Temburong ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
Keberangkatan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah ke Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Daerah Temburong dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Arif Haji Muhammad Bahrin bin Haji Alias. Di majlis berkenaan, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah telah berkenan menyampaikan kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada seramai 805 orang penerima bagi Daerah Temburong.
Pengurniaan kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia oleh paduka-paduka anakanda Baginda di keempat-empat daerah pada hari ini menandakan bermulanya pengagihan kurnia-kurnia peribadi Baginda Sultan dan diikuti kemudiannya dengan pengurniaan di pusat-pusat pengagihan yang telah ditetapkan bermula dari 20 hingga 22 Mac.
Pusat-pusat pengagihan berkenaan ialah Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) bagi Daerah Brunei dan Muara, Dewan Pusat Insani Seria bagi Daerah Belait serta Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong bagi Daerah Tutong.
Pengurniaan yang bermula pada hari ini dan pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan jelas memperlihatkan keprihatinan Baginda Sultan yang berterusan terhadap memeduli kesejahteraan dan hal ehwal golongan-golongan tertentu di negara ini supaya mereka juga tidak terkecuali daripada mendapat perhatian berterusan Baginda lebih-lebih lagi dalam suasana negara ini tidak lama lagi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.