FREETOWN, 28 APRIL – Sierra Leone kini berdepan peningkatan ketara jangkitan mpox yang direkodkan, dengan 177 kes baharu dilaporkan sejak beberapa hari kebelakangan ini, menurut seorang pegawai kementerian kesihatan kepada AFP.
Negara Afrika Barat pada Januari lalu telah mengisytiharkan darurat kesihatan awam untuk membendung jangkitan mpox serta menghantar pasukan kesihatan bagi menjalankan operasi saringan di kediaman individu yang disyaki dijangkiti virus itu.
Penyelaras mobilisasi sosial Kementerian Kesihatan, Amanda Clemens, berkata pada Sabtu, petugas kesihatan telah merekodkan sejumlah 177 kes sepanjang tempoh Jumaat sehingga Sabtu.
Menurut data Agensi Kesihatan Awam Kebangsaan yang diterbitkan Sabtu, Sierra Leone merekodkan sebanyak 763 kes mpox sejak Januari, dengan enam kematian dan 282 kes pulih.
Freetown yang juga ibu negara Sierra Leone, mencatatkan jumlah kes mpox tertinggi sejak darurat kesihatan diisytiharkan, mendorong kerajaan membuka empat pusat rawatan di ibu negara sejak Februari.

“Maklumat salah dan ketakutan berkaitan mpox terus menghalang sesetengah individu mendapatkan bantuan perubatan, menyebabkan ada yang tidak diuji lebih awal.
“Akibatnya, mungkin tanpa disedari, mereka menyebarkan penyakit sebelum diagnosis,” kata Sallu Lansana, ahli pasukan vaksinasi kementerian kesihatan.
Negara itu memulakan program vaksinasi terhadap petugas kesihatan barisan hadapan, individu berisiko tinggi dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas pada awal April, selepas memperoleh 61,300 dos vaksin daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan pembangunan.
“Lebih 1,000 individu telah menerima suntikan vaksin, dengan majoritinya terdiri daripada petugas kesihatan, kebanyakannya wanita,” kata Desmond Maada Kangbai, ketua program vaksinasi kementerian kesihatan.
Mpox disebabkan oleh virus daripada keluarga yang sama dengan cacar, dengan simptom termasuk demam tinggi dan lepuhan kulit yang dikenali sebagai vesikel.
Penyakit ini pertama kali dikenal pasti di Republik Demokratik Congo pada tahun 1970, dan sebelum ini lazimnya hanya merebak di kira-kira belasan negara di Afrika. – AFP