Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Program Induksi bagi Guru-guru Baru Tahun 2017 yang bermula 27 November lalu, berakhir hari ini dengan majlis penutup di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Marina Chek binti Bujang yang turut menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta program dan juga sijil-sijil penghargaan kepada para penyampai taklimat serta para fasilitator program.
Program tiga hari berkenaan merupakan program pengenalan bagi seramai 178 orang guru yang baru berkhidmat dengan kerajaan khususnya di Kementerian Pendidikan.
Ia adalah program pendedahan dalam memulakan kerjaya sebagai seorang tenaga pengajar dan juga untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan tentang dasar-dasar, peraturan-peraturan dan gambaran keseluruhan mengenai dengan Kementerian Pendidikan.


Antara atur cara yang telah disusun sepanjang program induksi tersebut termasuk taklimat-taklimat daripada Institut Perkhidmatan Awam (IPA), jabatan-jabatan, bahagian dan unit yang berkenaan di Kementerian Pendidikan dan sesi aktiviti berkumpulan.
Hasil daripada program induksi tersebut, guru-guru diharap akan lebih bersedia untuk menjalankan tugas sebagai pendidik, mempunyai pengetahuan serta mendukung dasar-dasar dan inisiatif yang sedang dilaksanakan di Kementerian Pendidikan, menjadikan rukun akhlak dan etika kerja sebagai panduan kerja seharian dan memelihara reputasi profesionalisme dan imej sebagai seorang pendidik yang berdaya tahan dan bermotivasi tinggi.
Turut hadir di majlis penutup program induksi berkenaan ialah para pengarah, ketua-ketua bahagian dan unit di Kementerian Pendidikan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan serta pemimpin-pemimpin sekolah.