COATZACOALCOS, Mexico, 30 Julai – Ramai bakal-bakal penghijrah diseludup dari Amerika Tengah ke AS telah diselamatkan semalam dari lori yang ditinggalkan, menurut para pegawai di Veracruz,negeri Mexico.
Pihak berkuasa berkata 178 orang ditemui dalam sebuah lori treler di bandar Tantima, Mexico.
Penyelamatan mereka dilakukan kurang seminggu selepas kematian dahsyat 10 orang penghijrah yang mati lemas yang terperangkap dalam lori 18 tayar dan ditemui Ahad lalu di tempat letak kereta Walmart di San Antonio, Texas.
Pihak berkuasa berkata seramai-ramainya 200 penghijrah mungkin diasak ke dalam treler itu yang ditemui di Texas, ramai yang telah terpaksa dimasukkan ke hospital.
Sesetengah mangsa yang terselamat meninggalkan tempat letak kereta itu dengan menaiki kereta-kereta yang menanti, menurut cerita dari para saksi.
Para pegawai berkata penghuni-penghuni lori itu yang semalam nyaris-nyaris tidak dapat mengelak tragedi menyedari pada beberapa tahap bahawa mereka telah ditinggalkan oleh penyeludup dan beberapa orang berjaya melepaskan diri dan mendapat bantuan dari penduduk setempat bandar itu yang memberikan mereka makanan dan air.
Warga-warga Amerika Tengah itu kemudian dibawa oleh polis ke pusat penghijrahan, yang mana di situ mereka telah diberikan bantuan perubatan sebelum pihak berkuasa memulakan proses mengembalikan mereka ke negeri asal mereka.
Satu sumber tentera Mexico memberitahu AFP bahawa kebanyakan warga Amerika Tengah adalah orang dewasa, meskipun terdapat juga segelintir di bawah umur yang ditemui dalam kenderaan itu. – AFP