BEIJING, 31 MAC – Lapan belas anggota bomba dan seorang pemandu perhutanan terbunuh ketika memadamkan kebakaran besar di sebuah hutan di barat daya China.
Rakaman imej stesen televisyen tempatan menunjukkan api besar merebak dari pergunungan di bandar Xichang di wilayah Sichuan. Asap tebal berkepul-kepul naik menyelubungi bangunan dan jalan raya bandar, yang mempunyai kira-kira 700,000 penduduk.
Kerajaan bandar itu dalam satu kenyataan di Weibo, pagi tadi berkata, kebakaran bermula dari Xichang di wilayah pergunungan Liangshan pada pukul 3 petang semalam.
Kebakaran yang merebak itu mengancam keselamatan bandar Xichang.
Lebih 140 kenderaan bomba, empat helikopter serta hampir 900 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran.
Secara keseluruhannya, lebih 2,000 orang terbabit dalam operasi menyelamat dan lebih 1,200 penduduk tempatan telah dipindahkan.
Kelihatan helikopter masih memadamkan api pada pagi ini.
Agensi berita negeri, Xinhua, melaporkan kebelakangan ini beberapa kebakaran hutan berlaku di wilayah sama.
April lalu, 27 ahli bomba terbunuh dalam satu kebakaran besar hutan di Muli dalam wilayah sama. – AFP