Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    18 atlet SPM dalam dilema sertai Sukan SEA Thailand

    KUALA LUMPUR, 14 OKT – Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA Thailand 2025, Nurul Huda Abdullah melahirkan rasa kebimbangan terhadap penyertaan 18 atlet Malaysia yang dijadual menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

    Perkara itu susulan SPM yang berlangsung dari 3 November hingga 23 Disember akan bertembung dengan temasya pada 9 hingga 20 Disember ini.

    Beliau berkata, pihaknya belum mendapat maklum balas Kementerian Pendidikan sama ada kelonggaran khas dapat diberikan kepada atlet terbabit bagi membolehkan mereka tetap menyertai temasya itu tanpa menjejaskan peperiksaan masing-masing.

    Katanya, perkara itu menyebabkan dilema kepada atlet dan keluarga untuk membuat keputusan sama ada menyertai temasya dwitahunan itu atau mengambil SPM.

    “Terdapat kebimbangan dibangkitkan kepada saya mengenai atlet yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM, yang bertembung dengan jadual Sukan SEA.

    Nurul Huda Abdullah semasa ditemu bual media menjelang Sukan SEA 2025 Thailand di Velodrom Nasional, Negeri Sembilan pada 10 Oktober. – Bernama

    Setakat ini tiada maklum balas yang pasti,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pengurus Pasukan ke Temasya Sukan SEA Thailand di Wisma Majlis Olimpik Malaysia, hari ini.

    Nurul Huda turut memaklumkan pengurus pasukan Sukan SEA Thailand 2025 bakal menggalas tanggungjawab besar susulan tiada perkampungan sukan di temasya dwitahunan itu dan pihak penganjur hanya menyediakan hotel buat atlet dan pegawai terlibat berdasarkan acara sukan disertai mereka.

    “Kontinjen kita akan berada di banyak hotel dan hal itu akan menjadi cabaran utama untuk kami dan di sinilah kami juga bergantung pada pengurusan pasukan.

    “Tanggungjawab mereka sangat besar dan inilah apa yang saya tekankan hari ini dalam mesyuarat pengurus pasukan. Mereka akan bertanggungjawab atas kebajikan pasukan mereka,” katanya.

    Dalam pada itu, Nurul Huda turut memaklumkan pihaknya sudah mempunyai senarai pendek atlet yang akan membawa Jalur Gemilang di Thailand. 

    Menurut beliau, senarai tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi memutuskan calon yang sesuai menggalas tanggungjawab itu.  – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda