Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    18 belia tawan Bukit Dadap

    Oleh Nurdiyanah R.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Sebagai aktiviti untuk mengisi cuti hujung minggu dengan gaya hidup yang sihat, seramai 18 orang belia telah mengadakan aktiviti mendaki Bukit Dadap di Kampung Kilanas, Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

    Aktiviti mendaki bukit itu merupakan gabungan dua kumpulan peserta dari Daerah Brunei dan Muara dan Tutong yang masing-masing diketuai oleh Awang Safarizal bin Haji Abdul Manaf dan dibantu oleh Dayang Ris Juliana binti Haji Abdul Halim.

    Aktiviti telah dimulai dengan bacaan doa untuk memohon kelancaran kepada Allah S.W.T diikuti dengan taklimat ringkas mengenai langkah-langkah keselamatan semasa berada di dalam hutan yang disampaikan oleh Awang Safarizal.

    Beliau antara lain menekankan kepada para peserta untuk sentiasa berwaspada ketika berada di dalam hutan kerana keadaan batu terlalu licin, di samping menyarankan kepada para peserta untuk berjalan secara berkumpulan.

    Rombongan pendaki bergambar ramai sebelum memulakan aktiviti mendaki Bukit Dadap.
    Antara peserta yang menikmati keindahan salah sebuah wasai di kawasan Bukit Dadap baru-baru ini.

    Menurut beliau lagi, cara itu akan membantu menggelak dari berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini semasa mendaki bukit tersebut. Selain mendaki bukit, para peserta juga berpeluang menerokai dan menikmati keindahan salah sebuah wasai di kawasan Bukit Dadap berkenaan.

    Awang Mohd Shahrol Redhwan bin Haji Mohd Yussof dari Daerah Tutong menjelaskan tujuan utama aktiviti ini adalah untuk mengetengahkan kepada masyarakat khususnya para penggemar aktiviti mendaki bukit supaya dapat menyebarkan semangat cintakan aktiviti sihat dari semasa ke semasa.

    “Ia juga menghidangkan pemandangan bukit-bukau dengan beberapa wasai yang indah dan bersih dengan keunikan flora dan fauna serta diliputi dengan udara persekitaran yang segar,” tambah beliau kepada wartawan Media Permata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda