JAKARTA, 6 MEI – Sebanyak 18 kejadian bencana alam melanda rantau Asia Tenggara sepanjang minggu lalu, termasuk letusan gunung berapi, banjir dan ribut yang menjejaskan ribuan penduduk, serta menyebabkan ramai kehilangan tempat tinggal, menurut Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre).
Di Indonesia sahaja, bencana alam melanda beberapa wilayah termasuk Banten, Jawa Tengah, Nusa Tenggara Timur, Riau, Sulawesi Tengah dan Sulawesi Utara, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Malaysia melaporkan kejadian banjir di Sabah dan Pahang, manakala Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina (NDRRMC) merekodkan kejadian banjir di Mindanao serta letusan Gunung Bulusan.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) pula melaporkan kejadian banjir, ribut dan bencana alam berkaitan angin di sekurang-kurangnya 23 wilayah termasuk Udon Thani, Kalasin dan Sukhothai.
Di Vietnam, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Daik (VDDMA) melaporkan kerosakan akibat ribut dan angin kencang di wilayah seperti Son La, Kon Tum, An Giang, Bac Kan dan Kien Giang, menurut laporan mingguan AHA Centre bagi tempoh 28 April hingga 4 Mei.

Gunung Bulusan di Filipina meletus pada 28 April, memuntahkan asap setinggi 4,500 meter, mendorong Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) menaikkan amaran kepada Tahap 1 serta menjejaskan kira-kira 142,700 penduduk di Sorsogon.
“Nilai kerosakan pertanian dianggarkan berjumlah AS$16,200, dan bantuan kemanusiaan sebanyak AS$472,000 telah disalurkan oleh pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan AHA Centre.
Di Myanmar, angka terkini daripada Jabatan Pengurusan Bencana (DDM) menunjukkan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang melanda Mandalay pada 28 Mac mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,785 kematian, 92 orang hilang dan lebih 5,100 cedera.
“Kira-kira 499,000 orang terjejas dengan 39,000 hilang tempat tinggal. Anggaran kerosakan infrastruktur mencecah AS$1.9 bilion. “Proses pengumpulan dan pengesahan data masih dijalankan,” menurut AHA Centre.
Pusat itu turut melaporkan enam kejadian gempa bumi berukuran lebih 5.0 pada skala Richter serta aktiviti gunung berapi yang berterusan di beberapa lokasi di Indonesia dan Filipina. – Bernama