Tuesday, February 11, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    18 cerpen diterima dalam Peraduan Menulis Cerpen

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 3 Nov – Sebanyak 18 cerpen telah diterima dalam Peraduan Menulis Cerpen (PMC) sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Majlis PMC, Dr. Chong Ah Fok juga selaku Ketua Bahagian Bahasa dan Sastera ketika ditemu bual selepas mesyuarat Badan Kesenian dan Kebudayaan (B2K) melalui Bahagian Bahasa dan Sastera bersama ahli-ahli Jawatankuasa PMC di Restoran Sajian Desa, Tutong, kelmarin.

    Jelasnya lagi, penyertaan dalam peraduan tahun ini sangat membanggakan yang mana ia bukan saja disertai oleh golongan veteran bahkan para belia di seluruh negara walaupun tiga buah cerpen lagi telah ditolak kerana tidak menetapi syarat dan tema peraduan.

    “Penyertaan adalah sangat menggembirakan kerana terdapat belia-belia yang menyertainya dan ini merupakan petanda baik bahawa anak-anak muda sudah ada yang mahu berjinak-jinak menyertai aktiviti seperti ini,” jelas Dr. Chong Ah Fok.

    B2K melalui Bahagian Bahasa dan Sastera telah mengadakan mesyuarat bersama ahli-ahli Jawatankuasa PMC di Restoran Sajian Desa, Tutong.

    Apa yang menariknya melalui peraduan ini, kesemua cerpen yang mengikuti peraduan ini telah pun dibukukan dalam Antologi Cerpen bersempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta dan akan dijual semasa acara PMC yang akan diadakan pada 12 November ini, jam 2 petang di Dewan Perpustakaan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah dengan harga yang murah.

    Semasa mesyuarat tersebut, Dr. Chong Ah Fok juga berterima kasih dan memanjat rasa syukur kerana mendapat sokongan padu daripada seorang korporat yang menaja peraduan tersebut dan berharap majlis itu akan berjalan dengan lancar serta mengalu-alukan para peserta peraduan dan penulis-penulis di negara ini untuk hadir dan memeriahkan lagi acara PMC itu nanti.

    Peraduan itu merupakan kali kedua ia dianjurkan oleh B2K bersempena Jubli Emas dan merupakan antologi cerpen kedua yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan diusahakan oleh Bahagian Bahasa dan Sastera.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda