Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    18 ditahan dalam kegiatan skim piramid

    BANGKOK, 17 OKT – Polis Thailand telah menahan 18 orang, termasuk tiga selebriti, dan merampas kereta sporty mewah serta berjuta-juta dolar berhubung skim piramid menjual makanan tambahan kesihatan dan pemakanan, kata pegawai hari ini.

    Penangkapan itu dibuat selepas lebih 1,000 orang memfailkan dakwaan penipuan dalam talian terhadap The iCon Group, sebuah syarikat yang mereka katakan telah memukau mereka untuk membeli produk dan membuat pembayaran kewangan.

    Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Warathaphon ‘Boss Paul’ Waratyaworrakul, telah ditahan kelmarin bersama seorang pengacara televisyen terkemuka dan seorang pelakon yang didakwa membantu meyakinkan mangsa untuk menyertai skim itu.

    Pihak berkuasa berkata mereka telah membekukan 125 juta baht (AS$3.8 juta) yang disimpan dalam akaun bank empat eksekutif syarikat itu dan merampas kenderaan mewah termasuk Porsche dan Ford Mustang.

    Polis sedang meneliti akaun bank dan pemindahan wang tunai yang dikaitkan dengan suspek untuk mengetahui sama ada terdapat lagi orang yang terlibat, kata ketua polis Thailand, Kitrat Phanphet, kepada pemberita. Syarikat itu didakwa memukau mangsanya dengan menawarkan kursus jualan murah dalam talian.

    Sebaik sahaja mendaftar, ia memaksa mereka membuat pembelian lanjut dan pembayaran kewangan antara 2,500 baht hingga 250,000 baht (AS$7,500) yang digunakan untuk mengiklankan rekrut baharu.

    Sebahagian daripada mangsa terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah hingga pemain bola sepak berpendapatan tinggi telah membayar lebih 600,000 baht kepada syarikat itu, menurut media tempatan. Polis masih belum mengira jumlah keseluruhan yang ditipu. – AFP

    Gambar menunjukkan deretan kereta mewah yang dirampas daripada The iCon Group di CIB di Bangkok pada 17 Oktober 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda