Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    18 ikuti latihan sebelum sertai Jambori ke-25

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Seramai 18 orang peserta kontinjen Negara Brunei Darussalam yang bakal menyertai Jambori Pengakap Sedunia ke-25, telah menyertai Perkhemahan Latihan Intensif Bersepadu yang di kendalikan oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) pada 16 hingga 18 Februari lalu.

    Ia bermatlamat untuk memberikan pendedahan, mengenal pasti peranan, tugas dan tanggungjawab selaku peserta di jambori itu nanti.

    Menurut PPNBD, peserta perkhemahan dua hari yang berlangsung di Ibu Pejabat Persatuan Pengakap Daerah Tutong itu terdiri daripada ahli-ahli pengakap muda dan tiga orang ahli pengakap kelana yang bakal menyertai Jambori Pengakap Sedunia ke-25 di Saemangum, Republik Korea pada Ogos depan.

    Perkhemahan itu juga bermatlamat untuk menunjukkan kepada para peserta kemahiran yang diperlukan bagi memenuhi peranan mereka sebagai peserta jambori serta menerapkan sikap bekerjasama dan semangat setia kawan.

    Semasa program perkhemahan itu, para peserta berpeluang untuk mempelajari kemahiran asas pengakap seperti pelajaran ikatan, pelajaran membuat gajet, pengenalan mengenai Jambori Pengakap Sedunia ke-25, malam kebudayaan serta pelbagai aktiviti sampingan.

    Sementara itu, majlis penyampaian sijil kepada para peserta perkhemahan telah diadakan pada hari terakhir perkhemahan di mana penyampaiannya disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

    Jambori Pengakap Sedunia yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) merupakan perkhemahan belia terbesar di dunia dengan edisi ke-25 dihoskan oleh Persatuan Pengakap Korea.

    Jambori dunia berkenaan diadakan setiap empat tahun dan lebih 50,000 orang peserta yang terdiri daripada belia-belia berumur 12 hingga 17 tahun dan pemimpin-pemimpin pengakap dari 170 buah negara dijangka akan berkongsi kebudayaan negara masing-masing dan pengalaman kepengakapan semasa jambori berkenaan.

    Pelbagai kegiatan telah dirancang oleh pihak penganjur semasa jambori diadakan dengan antaranya ialah aktiviti-aktiviti lasak, Program Matlamat Pembangunan Mapan, penggunaan teknologi hijau dan teknologi terkini serta perkongsian budaya antara negara.

    Haji Awang Badar bergambar ramai dengan para peserta semasa program perkhemahan di Ibu Pejabat Persatuan Pengakap Daerah Tutong, baru-baru ini. – Gambar serahan PPNBD
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...