Model Hollywood terkenal, Hailey Bieber, menyifatkan pengalaman melahirkan anak sulungnya, Jack Blues Bieber, sebagai berbahaya dan menakutkan.
Jelas isteri kepada penyanyi, Justin Bieber itu, dia bertarung nyawa sehingga 18 jam sepanjang proses melahirkan termasuklah menahan sakit beberapa jam tanpa sebarang suntikan epidural.
“Selepas usia kehamilan memasuki 39 minggu, air ketuban saya pecah dan terpaksa menjalani proses induksi kehamilan. Doktor mula memberikan rawatan dan ubat bagi merangsang kontraksi dan membuka serviks.
“Memang pengalaman yang gila, langsung tidak menyeronokkan, mereka pecahkan air ketuban saya, masuk dalam bilik bersalin, bersalin dan tahan sakit selama beberapa jam tanpa epidural,” kata Hailey menerusi satu temu ramah dengan majalah Vogue.
Tambah pemilik jenama kosmetik Rhode itu lagi, sekali lagi dirinya berada di ambang maut apabila doktor mengesahkan Hailey mengalami pendarahan teruk (postpartum hemorrhage) selepas bersalin.
“Situasi itu agak menakutkan. Tapi saya percayakan doktor sepenuhnya dan itu membuatkan saya tenang.
“Saya tahu doktor tidak akan biarkan apa-apa berlaku kepada saya. Tapi saya memang mengalami pendarahan yang banyak dan boleh mengakibatkan maut. Fikiran itu ada juga terlintas dalam fikiran saya,” ceritanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Wanita lain boleh berehat dengan tenang selepas bersalin, namun Hailey terpaksa berhadapan dengan komen jahat warga maya dan spekulasi kononnya rumah tangganya dan Justin sedang goyah.
“Fasa selepas bersalin adalah masa paling sensitif yang pernah saya lalui dalam hidup saya dan untuk mengenali versi diri saya yang baru adalah sangat sukar. – Agensi
