Susulan kontroversi melibatkan pelakon Kim Soo Hyun, warganet menuntut 18 syarikat jenama berprofil tinggi di Korea Selatan menggugurkan nama aktor berkenaan sebagai duta.
Koreaboo melaporkan, sekiranya Soo Hyun terus mendapat sokongan daripada jenama-jenama tersebut mereka tidak teragak-agak memboikot barangan keluaran syarikat yang bekerjasama dengan pelakon tersebut.
Dalam pada itu, warganet juga menganggap imej dibawa pelakon berkenaan dilihat tidak sejajar dengan nilai jenama termasuk dalam sektor kewangan yang perlu mengutamakan sikap boleh dipercayai.
“Dia (Soo Hyun) banyak menghiasi ruang iklan, jika syarikat tidak menggugurkan Soo Hyun sebagai model, saya memboikot enggan membeli daripada mereka.
“Mereka selalu mengatakan model syarikat sektor kewangan dipilih kerana imej boleh dipercayai dan disenangi, tetapi ini satu pengkhianatan besar,” tulis warganet.
Sepanjang pembabitannya dalam dunia hiburan, Soo Hyun telah dipilih menjadi model dan duta bagi jenama-jenama terkenal termasuk Swatch Group, Homeplus, Shinhan Bank, Jo Malone London, Prada dan Frombio.
Sebelum ini Soo Hyun didakwa menjalin hubungan cinta dengan Kim Sae Ron selama enam tahun sejak mendiang aktres itu berusia 15 tahun.
Bagaimanapun, agensi pengurusan Soo Hyun iaitu Gold Medalist menafikan dakwaan itu dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan tersebut.
Lebih mengejutkan rami, foto Soo Hyun mencium pipi Sae Ron juga tular di media sosial namun sekali lagi agensi aktor tersebut menafikan dakwaan itu.
Pada 16 Februari lalu, Sae Ron ditemukan sudah tidak bernyawa di rumahnya di Seongsu-dong, Korea Selatan. – Agensi
